Subhanallah

Waktu Solat

Thursday, 2 May 2013

REHLAH 1.0, KUNDASANG




Assalamualaikum sahabat yang dimuliakan Allah SWT… 





Rabu, 1 Mei 2013 


"Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara..." 
(Q. Al-Hujurat: Ayat 10) 

Alhamdulillah, satu lagi usaha berukhuwwah telah berjaya dilaksanakan oleh guru pelatih IPG Kampus Keningau yang turut di hadiri oleh YDP JPP saudara Hidafi Jefrey dan Mas’ul Syukbah Sukan dan Rekriasi JKM saudara Syukri A. Halim dalam suatu program sesingkat 11 jam. Singkat-singkat pun, semoga Allah berkati dan panjangkan lagi ikatan 7 hati yang menyapa satu sama lain dalam rehlah ini. Amin! 

       Disaat masyarakat sibuk dengan berkempen, disaat manusia sibuk nak jadi pemimpin ada yang sampai 7/6 penjuru di sesuatu kawasan, disaat negara getir menantikan ketua negara yang baharu yang bakal memimpin agama, bangsa, negara... Disaat itu, Allah SWT memilih hambahnya untuk sama-sama berkumpul dan menyediakan hati-hati mereka yang ingin ditarbiyyah dan merasai nikmat bersaudara untuk memperbaiki dirinya, ahli keluarganya, dan masyarakat...

Singgah sebentar di Masjid Nurul Iman, Tambunan : 
Solat Dhuha dan sarapan pagi dan santapan minda...

Sempat lagi bergambar sebelum meneruskan perjalanan...

Singgah di Desa Cattle Farm, 
melihat lembu-lembu yang comel...
Dapat jugalah minum susu segar dari ladang...

Kultum di dalam kesejukan... sejuk-sejuk...

mmm...

Melihat keindahan alam ciptaan Khaliq,
Indahnya ciptaan Allah... Subhanallah...!


Dari Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): 
"Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu saling mencintai. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang sekiranya dilakukan, nescaya kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam (diantara kamu)" [HR Muslim] 


Akhir kata, semoga ukhuwwah ini kita suburkan lagi dengan salam, sapaan, tegur-menegur dan saling ingat-mengingati, juga berpesan-pesan di atas kebaikan dan kebenaran! Amin…


Monday, 15 April 2013

Karya Bumi dan Langit 1, Syed Ahmad Jamal

Assalamualaikum sahabat yang dimuliakan Allah SWT...



Karya Syed Ahmad Jamal (SAJ) bertajuk "Bumi dan Langit I" telah dihasilkan pada tahun 1998 mengunakan akrilik di atas kanvas berukuran 203sm x 274.5sm. Namun begitu, secara keseluruhannya karya ini menggunakan subjek alam tabii (alam semulajadi) sebagai teras pengkaryaannya. Melihat pada format kanvas dari bawah ke atas didapati karya SAJ ini terbahagi kepada empat bahagian.

   Bahagian pertama di bawahnya terdiri daripada lapisan bumi, bahagian kedua pula terdiri daripada tumbuh-tumbuhan dan bukit-bukau. Pada bahagian ketiga terdiri daripada awan, jalur cahaya dan hujan. Seterusnya pada bahagian keempat di atasnya terdiri daripada langit dan bintang-bintang. SAJ mengukuhkan struktur karyanya dengan kombinasi garisan, rupa, bentuk, dan jalinan. Sementara komposisi karyanya diseimbangkan, dikontrakan, diulang-ulangkan, ditegangkan, dan diharmonikan.



   Sapuan garisan yang pantas amat ketara sekali pada bahagian kedua karya iaitu terutamanya dalam menghasilkan imej tumbuh-tumbuhan. Cadangan tumbuhan seperti lalang ataupun di kawasan padang dihasilkan secara sapuan pantas dengan dominasi garisan condong (diagonal line). Garisan condong yang diulang secara ketara dapat dilihat pada sebelah kiri karya. Bagaimanapun, garisan cembung (curve line) dikontraskan terutamanya bahagian di antara langit dengan bumi iaitu pada bahagian berwarna ungu gelap. Garisan cembung juga amat ketara digunakan pada bahagian awan. Pun begitu, garisan melintang (horizontal line) pula dibentuk melalui tanah yang berlapis-lapis di bahagian pertama ataupun bawah karya. Garisan melintang juga agak jelas pada bahagian kiri permukaan langit dan bumi dalam karya tersebut.

   Terdapat pelbagai jenis karektor garisan; ada garisan perlahan, sederhana, pantas dan tegas. Gabungan daripada berbagai-bagai jenis garisan tersebut lalu membentuk beberapa jenis jalinan (texture), memperkayakan lagi karya SAJ. Secara keseluruhannya SAJ menggunakan jalinan mujarad (abstract texture). Penggunaan rupa yang agak ketara dapat dilihat pada bahagian pertama atau bawah karya iaitu rupa merah pada tanah yang berlapis-lapis.

    Dari aspek elemen ruang pula, SAJ menggunakan `ruang mendatar’ dan `ruang cetek’. Secara keseluruhannya karya SAJ mendominasikan ruang cetek. Sementara ruang mendatar pula dapat dilihat sedikit sahaja terutamanya pada bahagian pertama atau bawah karya iaitu lapisan tanah yang berwarna merah. SAJ menggunakan `warna panas’ ke `warna sejuk’ dalam pengolahan karyanya ini. Warna merah (warna panas) pada bahagian pertama atau bawah karya. Diikuti dengan warna kuning (warna panas) memenuhi sebahagian kawasan bumi. Warna biru muda (warna sejuk) di bahagian ketiga iaitu kawasan awan dan akhirnya warna biru tua (warna sejuk) di bahagian langit dan bintang-bintang. Untuk membentuk `keharmonian’ dari segi warna, warna-warna panas tersebut diulang-ulangkan pada bahagian warna sejuk. Ini dapat dilihat terutamanya pada bentuk awan dan juga bintang-bintang.

   Format kanvas empat segi tepat digunakan dengan memberi penekanan kepada `kesinambungan tidak sama ukur’ (assymetrical balance). Namun begitu, SAJ juga menggabungkan `keseimbangan kristal grafik’ (crystal graphic balance) ataupun `pandangan saujana’ dalam istilah kesenian Islam (infinite patterning) di dalam karyanya. Keseimbangan tak samukur dapat dilihat dengan perletakan imej yang tidak sekata. Malah warna merah yang sedikit dikontraskan dengan warna biru yang dominan juga menimbulkan implikasi keseimbangan tak samukur.

   Sebaliknya imej dan bentuk seakan-akan lalang, tanah, gunung, hujan, awan dan bintang-bintang pula membentuk struktur karya ini kepada titik fokus mencapah (keseimbangan kristal grafik) ataupun tidak memusat. Titik fokus mencapah tersebut selari dengan pandangan saujana dalam kesenian Islam. Keseluruhan format karya ini menggunakan `rentak tidak senada’ (random rhythm) kecuali pada bahagian tepi sebelah kiri, di antara langit dengan bumi. Di bahagian tepi sebelah kiri ini `rentak tersusun’ (regular rhythm) pula digunakan terutamanya pada bahagian yang digambarkan seperti hujan.

   Gabungan elemen dan prinsip seni lukis di dalam karya ini membentuk satu kesatuan yang cukup mantap. Penyatuan elemen-elemen dengan komposisi serta pandangan saujana antaranya menimbulkan keanekaan di dalam kepelbagaian. Kesatuan dan keanekaan di dalam kepelbagaian itu telah membentuk karya SAJ sebagai karya yang kaya, sarat bahkan berisi nilai-nilai falsafah dan budaya. Falsafah dan budaya yang mencerminkan pemikirannya, masyarakatnya dan budayanya akan menjadi satu khazanah peradaban yang tidak ternilai harganya. Dari aspek falsafah teras utama yang ditunjangi oleh SAJ adalah tauhid. Ini dapat dilihat pada permulaan katalog pameran antara langit dan bumi (Muliyadi, 2000).

   “Sesungguhnya Tuhan kami ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu ia bersemayam di atas arasy: ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti), dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang menciptakan dan mentadbirkan sekalian alam.” (surah al-A’raaf: 54).

   Falsafah tauhid menurut al-Faruqi adalah dengan mengesakan Allah. Dengan demikian, format yang dihasilkan oleh SAJ menepati ciri-ciri yang telah dibincangkan seperti di atas. Secara keseluruhannya dari aspek komposisi, SAJ terpegun dengan alam tabii yang diciptakan Allah. SAJ tidak mengambil alam tabii secara luaran yang bersifat sementara ataupun apa yang dikenali dengan istilah Barat sebagai `realistik’ ataupun menurut istilah Islam sebagai `realiti semulajadi’. Sebaliknya realiti semulajadi tersebut diabstrakkan, dipermudahkan ataupun al-Faruqi melanjutkannya dengan istilah `penggaya-gayaan’ (stylyzation) dan denutralisasikan (denaturalization).

   Melalui abstraksi dan penggaya-gayaan SAJ menapis alam tabii yang bersifat semulajadi tersebut kepada satu intipati yang bersifat dalaman. Secara tidak langsung penggunaan perspektif biomorfik dan ruang mendatar dan cetek tersebut telah menolak ciri-ciri semulajadi yang mendominasikan catan-catan Barat terutamanya pada zaman Renaisan dan Realisme atau pun apa yang dikenali oleh Pak Mail sebagai ciri-ciri seni simbolis dan seni memesis.

   Penolakan ciri-ciri luaran (semulajadi) yang bersifat sementara dengan penarikan atau memasukkan ciri-ciri dalaman (kerohanian) yang bersifat kekal, membuatkan karya-karya SAJ mempunyai ciri-ciri ketauhidan. Dalam pengolahan karyanya, SAJ tidak merakamkan situasi sesuatu lanskap, malah SAJ menghimpunkan pelbagai situasi di dalam sesuatu format. Terdapat situasi malam, dingin, sejuk, panas, siang, petang dan senja umpamanya. Situasi yang berlainan disatukan ke dalam sebuah karya lalu membentuk apa yang dikatakan oleh Muliyadi (2000) sebagai “Antara langit dan bumi, ia bukanlah suatu interpretasi langsung tentang alam semulajadi, sejarah ataupun sesuatu peristiwa, sebaliknya merupakan garapan idea, minda, dan cetusan hati tentang segala bentuk peristiwa dan kejadian di antara kedua-dua ruang; langit dan bumi.”

   Unsur kepelbagaian garisan, jalinan, rupa dan bentuk yang digunakan oleh SAJ juga bercorak `islami’. Sungguhpun karya beliau menggunakan nada ekspresionis, namun SAJ telah membentuk kesan-kesan sapuan berusnya menjadi kesan yang terkawal. Bahkan penggunaan sapuan berus dengan diselangselikan dan ditindani dengan kesan warna sembur, menjadikan karyanya lebih terkawal. Pendek kata SAJ menggunakan ciri-ciri ekspresi Melayu yang bertunjangkan kesenian Islam.

   Sapuan ekspresi tetapi terkawal seolah-olah seperti pantun ataupun bentuk kiasan Melayu umpamanya “pukul anak sindir menantu.” Konsep seperti kiasan ataupun pantun tersebut dapat diperkukuhkan lagi dengan pendapat Muliyadi (2000) yang mengatakan, “SAJ meletakkan keindahan sebagai teras kreativitinya. Baginya karya seni seperti catan perlulah indah, sekalipun membawa mesej atau penceritaan yang berat maupun menyedihkan.”

   Sebagai seorang yang arif tentang bentuk kesenian Melayu-Islam, SAJ sememangnya mengambil pendekatan gaya al-Quran. Al-Quran walaupun menyampaikan cerita yang pedih dan menyiksakan tetapi disampaikan melalui irama yang syahdu lagi merdu. Alunan irama yang syahdu lagi merdu tadi adalah pokok kepada keindahan kerana `Allah itu Maha Indah dan sukakan keindahan.’

   Melihat dari aspek format bawah ke atas juga, didapati penggunaan tanah dengan cadangan berlapisan dapat menegaskan lagi sifat geografik bumi yang berlapis-lapis. Tumbuh-tumbuhan, padang dan bukit diambil secara saripati, dipersembahkan secara abstrak mengingatkan kita tentang tanda-tanda kebesaran Allah melalui penciptaan alam tabii.

   Bentuk seakan-akan awan yang dihasilkan dengan penuh tenaga bagaikan jantung alam semesta ataupun seperti guruh berdentum dengan memancarkan seperti jaluran kilat lalu membentuk kesan hujan (garisan diagonal). Begitu juga dengan fenomena bintang bertaburan dan langit yang berlapis-lapis, menandakan rakaman alam dalaman yang menyanjungi pencipta-Nya.

   Melihat secara keseluruhan komposisi karya SAJ ini jelas kelihatan mengandungi ciri-ciri dalaman ataupun apa yang disifatkan oleh Salleh dan Fatimah sebagai ciri kerohanian. Ciri-ciri dalaman atau kerohanian tersebut selari dengan ciri-ciri tauhid seperti yang dibincangkan oleh al-Faruqi. Bumi merah di bahagian bawah catan seolah-olah bumi yang gersang. Namun begitu dengan tiupan angin yang membawa awan yang mengandungi hujan telah menyuburkan bumi yang tandus, ataupun seperti apa yang difirmankan Allah melalui surat al-A’raf ayat 57 yang bermaksud, “Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan): hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran.”

   Melihat dari sudut warna pula, penggunaan warna panas ke sejuk juga dapat mengajak pemerhati memikirkan sejenak tentang kehebatan alam tabii ciptaan Allah. Warna merah seperti fenomena senja, kuning seperti petang, hijau seperti siang, biru seperti fajar dan biru tua kegelapan seperti malam, mencerminkan ketelitian dan kehalusan SAJ membentuk format `Bumi dan Langit I.’

   Menghubungkan elemen warna melalui komposisi catan dari atas ke bawah pula didapati warna gelap (malam) mewakili warna waktu isyak, warna biru muda (fajar) mewakili waktu subuh, seterusnya warna hijau (siang) mewakili waktu zohor dan kuning (petang) mewakili waktu asar, dan akhirnya warna merah (senja) mewakili waktu maghrib. Kelima-lima masa dan waktu yang berperingkat-peringkat ini selain menjadi nadi penting kehidupan orang Islam, juga mencerminkan pergerakan masa mengikut kosmologi atau pun sunatullah.

   Melihat dari aspek sejarah pula, karya `Bumi dan Langit I’ amat berjaya sama ada dari segi bentuk, komposisi dan isinya. Penggabungan pelbagai budaya keilmuan berstrukturkan format kesenian Melayu-Islam meletakkan karya SAJ ke hadapan, malah merentasi masa. SAJ tidak berkarya secara membuta tuli seperti sesetengah pelukis muda, bahkan beliau merupakan pengkaji dan penyelidik budaya. Dengan demikian karya-karya yang digarapnya adalah tulen dan segar. Kekuatan ilmu dan saripati budaya Melayu-Islam yang menjadi teras cara hidupnya amat terserlah sehinggakan memantulkan keindahan dalaman melalui tanda visual pada karyanya.

   SAJ bukan sahaja menggunakan tunjang budaya Melyu-Islam sebagai struktur karyanya, bahkan mana-mana ilmu daripada tamadun Barat maupun Timur yang baik dan bersesuaian digarapnya menjadi wadah pemikirannya. Suatu perkara yang penting, SAJ melalui karyanya itu telah melompat dari unsur-unsur konversi kesenian Islam yang lampau. SAJ berjaya membina fragmen masa baru yang menunjukkan penggabungan format kesenian Islam. Format kesenian Islam termasuklah seperti pengulangan, pandangan saujana, kerumitan, dinamik, gabungan berurutan dan meditatif dan seumpamanya. Kecekapan SAJ mencernakan tunjang kesenian Islam dengan gabungan prinsip seni Barat seperti ulangan, harmoni, keseimbangan dan kontras umpamanya membentuk suatu struktur baru dan teguh.

   Biasanya khalayak akan tertanya-tanya bagaimanakah sesebuah karya itu dinilaikan atau dianggap berbudaya tinggi. Sebenarnya, sesebuah karya itu menjadi bernilai bukan kerana kehebatan pada permukaannya sahaja, tetapi juga kerana ketulenan, keilmuan, keperibadian dan keindahan pengkaryanyalah yang turut menentukan nilainya.

Wednesday, 3 April 2013

Kematian, "Hakikat dan Kepastian"

Assalamualaikum saudara yang dimuliakan Allah sekalian...


Penulisan saya kali ini adalah tentang kematian...Na... takut kahh...? kah macam tiada-tiada perasaan ni bila mendengar perkataan kematian...?

Dalam banyak perkara, saya melihat secara umumnya manusia takut untuk mati. Saya juga tidak terkecuali. Jangan tersalah anggap, saya tidak mengatakan bahawa takut mati itu tidak baik. Ia baik kerana dengan rasa takut ini, kita lebih terdidik untuk menghargai. Tapi dalam masa kita takut mati, saya memerhatikan bahawa tidak ramai manusia yang takut untuk masuk neraka. Pelik, tapi ia reliti kehidupan.

Manusia takut mati, tapi tidak takut jika dihumbankan ke dalam neraka!

      Mengapa saya berkata begitu? Bukankah dalam Islam, perkiraannya mudah. Jika kita mahu ke syurga yang penuh dengan nikmat, kita harus taat kepada Allah. Sebaliknya jika mahu ke neraka yang penuh dengan sengsara, maka kita tidak perlulah mengikuti garis panduan dan ketetapan-Nya. 

      Dalam menyelami falsafah kematian, ulama-ulama telah menerangkan bahawa mati itu ialah suatu proses perpindahan manusia, dari satu alam kepada alam yang lain. Lebih tepat, dari alam dunia kepada alam barzakh sebelum berangkat ke alam akhirat. Benar, kematian itu jelas. Setiap yang bernyawa ada jangka hayatnya. Macam roti, ada expired nya. Tapi neraka itu juga realiti, benar, dan sahih. Neraka juga wujud, seperti kematian. Bukan kisah dongeng, tapi benar. Ia pasti benar. 

Mengapa Tuhan ciptakan neraka, jika benar Tuhan itu Pengampun, Pengasih dan Penyayang? 
      Disini kita harus melihat sifat Allah Yang Maha Adil. Di sinilah keadilan Allah. Dia menciptakan syurga serta neraka. Bagi hamba yang baik, tempatnya syurga tapi bagi hamba yang jahat, nerakalah destinasinya. Apa pernah kita dengar bahawa penghuni syurga itu orang zalim? Yang merasuah, membunuh, menganiaya, merogol, mencuri, merompak, derhaka atau yang suka mencarut serta bercakap kasar? Tidak! Bahkan penghuni syurga itu sifatnya pemaaf, berbudi bahasa, baik tutur kata, bertanggungjawab, penyayang, lemah lembut, amanah dan lain-lain. Semuanya sifat yang baik-baik.

Adakah kebaikan ahli syurga ini menguntungkan Tuhan? 
      Oh, sama sekali tidak! Allah sama sekali tidak berharap dan memerlukan (bergantung) kepada makhluk, sebaliknya makhluk yang memerlukan Allah. Dan kebaikan ahli syurga ini tidak lain adalah menguntungkan makhluk juga terutamanya manusia. Maka, yang selalu kita baca di dada akhbar ialah orang jahatlah yang selalunya mencuri atau buat jenayah. Tidak dinafikan, dalam kes-kes terpencil ada juga melibatkan orang bertudung labuh seperti kes pelajar sekolah agama buang bayi, tapi itu sangat terpencil. 

Takut mati dan takut ke neraka...? Mana yang lebih utama?Jika takut mati, maka yakinlah firman Allah dalam surah Al-Munafikun ayat 11: 
"Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang apabila sampai ajalnya"



      Mati, sakitnya sebentar. Nazak atau sakit sakaratul maut, tidak sampai bertahun. Tapi jika sudah menjadi ahli neraka, takkan sekajap. Pasti bertahun diseksa. Sakit mati, semua makhluk merasakannya termasuklah nabi dan rasul serta orang soleh. Semua 'menikmati' kesakitan yang hampir sama, tapi azab neraka cuma disediakan untuk VVIP sahaja, iaitu orang yang tidak bertaubat atas segala dosanya. Takut mati kedudukannya lebih rendah daripada takut ke neraka. Kerana jika telah sampai seruan jihad al-qital, maka takut neraka akan mengatasi takut mati. Dengan itu, gugurlah para syuhada' yang dijamin tempatnya di dalam syurga. Takut mati, perlu tapi takut ke neraka adalah berkali-kali lebih perlu!

         Tuntasnya, tanya diri kita yang berakal, apa gunanya hidup 40-60 tahun jika mati nanti, murka Tuhan menanti?
(Dengan nada yang lembut, bukan marah ya..:))
CPE

Semoga bermanfaat kepada kita dan 
semoga Allah SWT mengampuni dosa kita dan dosa ibu bapa kita...Amin.

Thursday, 28 March 2013

22 MAC

Assalamualaikum sahabat yang dimuliakan Allah SWT...

22 MAC...?
Ada apa dengan 22 MAC...?
Tiada apa-apa yang lucu, cumanya ia merupakan tarikh lahir saya...  
Dan juga tarikh 22 MAC, tarikh kewafatan Ulama terkenal iaitu As Syahid Skeikh Ramadan Al Buti dan As Syahid Sheikh Ahmad Yassin...



Hening pagi..
Kicauan burung di sebalik daun..
Kokokan ayam memecah sunyi pagi..
Mentari bersinar dibalik duka umat..

22 mac kembali lagi..
9 tahun antara 2..
2 insan jauh disana..
tapi dekat disini..

Di 2 bumi barakah..
yang hari ini diselubungi sedih..
suci wajah mereka berdua..
tempat umat bertumpang gembira..

Palestin dan syria..
bumi kesaksian..
perginya 2 insan..
ketika perjuangan..

Kerusi kayu dan roda..
menjadi tmpat mereka..
bom dan roket..
di akhir usianya..

Ahmad yassin dan Al-Buthi..
Kalian pergi menghadap Ilahi..
Meninggalkan obor ISLAM..
untuk diteruskan...

Kita di kejutkan berita kematian Ulama terkenal ini bersama 42 orang jemaah lain dalam serangan bom di Masjid Eman, Damsyik, hari ini (mungkin tengah kuliah atau beribadah kut). Allahuakbar.

Ramai tokoh2 Agama negara kita pun pernah belajar dengan Ulama ini.
Sumber Dari : Saudara Ahmad Kushairi

Al-Fatihah...

Semoga kita tergolong dikalangan orang-orang yang beriman... Amin...

Monday, 11 March 2013

Perangai yang baik

Assalamualaikum sahabat yang dimuliakan Allah SWT...

Syukur kita kehadrat Allah SWT kerana masih lagi mengizinkan untuk kita membaca, melihat dan dapat melayari benda-benda baik yang pada hari ini... semoga apa yang kita buat pada hari ini dapat memberi manfaat kepada kita, semoga Allah mengampuni dosa kita, dosa ibu bapa kita yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia...

Diriwayatkan daripada Abu darda' bahawasanya Nabi s.a.w bersabda : Tiada suatu benda yang lebih berat timbangannya pada orang mukmin pada hari kiamat, daripada orang yang mempunyai perangai yang baik dan bahawasanya Allah SWT murkan orang yang meluca dan mencarut. (Hadith hasan lagi sohih)

Ramai orang yang perasan bila dia pakai serban dia rasa baik, bila dia pakai jubah dia rasa rasa baik dah, bila dia berpakaian dia rasa kemas walaupun dia cikgu kemas sungguh... Tapi sebenarnya kita bukan boleh dinilai pada pakaian sahaja, 

Ustaz Kazim mengatakan,  untuk menilai manusia baik tak baik ini dinilai pada dua benda... yang Pertama : Dinilai pada AGAMA, kalau agama tak betul kalau agama tak baik dia tak baiklah walaupun dia baik sungguh tapi solat tidak...tetaplah dia dikira jahat sebab solat tidak dilaksanakan sebab agama tidak mengajar begitu...

Yang Kedua Ustaz Kazim kata : Kalau agama dia bagus nombor dua ialah Akhak yang baik, ada orang solat dia bagus, sedekah dia bagus tapi perangai dia tak baik tetap dikira dia tak baik... walaupun dia dalam bab agama dia "OK"...


(Hanya sekadar gambar hiasan)

Dalam dunia ini, ada bermacam-macam perangai manusia. ada yang suka melihat kesenangan orang, ada yang dengkih, ada yang suka mencarut, ada yang baik hati, ada yang... macam-macamlah...(semoga kita tergolong dalam orang yang baik-baik)

Imam Al-Ghazali menyatakan dalam kitab Ihya ulumuddin, ada 6 perkara yang menyebabkan 6 orang masuk neraka :


  1. Pemimpin masuk neraka dengan sebab dia takabbur, sebelum jadi wakil rakyat kita boleh bercerita-cerita dengan dia, jumpa bertegur sapa kan... bila dah jadi wakil rakyat terus tak kenal dah... macammmana itu...? tapi, tidak semualah... #peace



  2. Raja masuk neraka dengan sebab dia zalim, Raja memerintah dengan diktator... menghukum rakyat tanpa usl periksa tanpa mengkaji... terus main penggal jak kan, ibarat nyawa manusia ni dia pegang... Allahuakbar!


  3. Peniaga masuk neraka dengan sebab dia khianat, demi mendapat keuntungan yang banyak peniaga sanggup membuat taktik kotor, khianat dan lupa pada Pencipta yang memberi rezeki...


  4. Orang pedalaman masuk neraka kerana kejahilanya, ini merujuk kepada manusia yang malas dan tidak ada keinginan untuk menuntut ilmu... macam mana nak beribadat kalau tiada ilmu...? kan... "Ilmu untuk diamal" kalau tiada ilmu macam mana mengamal...? 

  5. Orang arab masuk neraka dengan sebab kesukuannya, Kata imam Al-Ghazali orang arab masuk neraka dengan sebab bangga dengan sukunya... mereka beranggapan merekalah yang paling hebat... 

  6. Ulama' masuk neraka dengan sebab dia hasad, ini merupakan ujian kepada ulama'-ulama, tok guru-tok guru, ustaz-ustaz, guru-guru... diriwayatkan kata Nabi saw hasad ini ibarat pencukur... pencukur pahala, pencukur amal...

Semoga kita tidak tergolong daripada golongan di atas... Amin...


Saya terbaca satu blog, dalam penulisannya dia terkesan dengan kata-kata seorang hamba Allah... lebih kurang "Orang yang menulis blog ni, menulis sia-sia. Tidak siapa kisah, tiada siapa betulkan ibarat tulisan yang berada di dalam tandas."saya yang membaca pon terkesan... Bagaimana dia boleh tafsif sampai macam tu...?


Inilah ujian kepada umat akhir zaman... iaitu perasaan tidak senang dengan kebaikan yang orang lain buat... janganlah hasad, Method Dakwah pelbagai cabang... InsyaAllah, Allah akan perbetulkan yang salah dengan perantaraan yang kita tidak sangkah-sangkah... yang penting NIAT kita... Kita bantu Agama InsyaAllah, Allah akan tetapkan langkah-langkah kita...


Semoga memberi manfaat kepada kita semua...





Thursday, 21 February 2013

PEMUDA


Assalamualaikum sahabat yang dimuliakan Allah SWT...

Sepanjang saya mengikuti program Mukhayyam yang  di adakan di Kampung Indarason, Kudat minggu lalu. Terdetik di hati nak membuat sebuah sajak, Alhamdulillah, Allah campakkan ilham untuk saya mengarang sajak yang bertajuk "PEMUDA". Sajak ini ditujukan khas buat sahabat-sahabat yang berumur sebaya dengan saya... InsyaAllah... 

Mari kita sama-sama hayati...

PEMUDA

Pemuda,
Ayuh bangkit bersama,
Bangkit meninggalkan maksiat yang melalaikan diri,
Bersama menjauhkan lembah-lembah kebinasaan.

Pemuda,
Ayuh bangkit kita,
Bangkit mempersiapkan diri memantapkan iman,
kita sahut seruan agama menegakkan hak menentang kebatilan.

Pemuda,
Ayuh, 
bersama-sama bangkit kita,
Bangkit menitipkan benih-benih kerisauan dalam diri, 
Memikul dakwah penyambung kerja para nabi,
Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Pemuda,
Ayuh kita bangkit,
kita bangkit,
Bangkit menjunjung kalima tauhid, 
Menyebarkan syiar Islam di seluruh dunia.

Nukilan : Nazib Kasim



Kesimpulannya :
- Jom... jadi pemuda yang hebat menjadi penggerak agama, cahaya masyarakat, sebagai benteng tauhid...


Hasan Al-Banna telah menyatakan,

"Kitab yang terletak di perpustakaan sedikit yang membacanya, tetapi seorang muslim sejati adalah "kitab terbuka" yang semua orang membacanya. Ke mana saja ia pergi, ia adalah dakwah yang bergerak"



Semoga Allah berikan kefahaman agama dalam diri kita... InsyaAllah...



Tuesday, 19 February 2013

MENSYUKURI NIKMAT ALLAH SWT


Assalamualaikum sahabat yang dimuliakan Allah SWT...


Dalam kehidupan seharian kita Allah SWT dengan maha penyayang-Nya telah memberikan kita nikmat yang begitu banyak. Allah SWT telah memberikan kita pancaindera, nikmat makan, tidur, dan bermacam-macam lagi. Nikmat-nikmat Allah SWT meliputi dari 7 petala langit sehingga 7  petala bumi... Subahanallah!... Jika hari ini Ahli saintis, Ahli ilmu hisab dengan menggunakan komputer, kalkulator atau peralatan yang canggih ingin menghitung nikmat-nikmat Allah SWT, nescaya hanya sia-sia dan tidak akan dapat menghitung nikmat Allah Azzawajallah...

Allah SWT menyebut dalam Al-Quran Mahfumnya "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi MAha Mengasihani (Surah AnNAhl ayat 18)



Hari ini Manusia telah hilang keyakinan bahawasanya Allah SWT yang memberi nikmat, yang mengatur tiap-tiap kejadian. Manusia telah lupa Allah SWT yang memberi rezeki, yang memberi kejayaan, yang memberi kebahagiaan, sehinggakan manusia leka dengan dunia yang ada depan mata. Nauzubillah...

Sejauh mana kita menggunakan nikmat-nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita?

Adakah kita memanfaatkan nikmat yang Allah SWT berikan, dan menggunakannya untuk mencari Mardhatillah(redha Allah)?


Bagaimanakah kita memanfaatkan nikmat-nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita dalam kehidupan seharian?


CEK AMAL TANYA IMAN (Sama-samalah kita ar...)


Inilah yang selalu manusia lupa, apa dia... bersyukur kepada Sang Pencipta, Astagfirullah Alazim... Manusia ego, lupa, dengan asbab usaha mereka yang sedikit mereka angkuh dan enggan bersyukur... Sedangkan Allah dah sebut dalam Al-Quran bermaksud: Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim ayat 7)

Sahabat yang dimuliakan Allah SWT, mari kita hayati tiga rangkap pantun nasihat dari saya ;

Apa guna siparang panjang,

Kalau tidak dengan tujuan;
Apa guna berumur panjang,
Kalau tidak dengan amalan.

Betik muda buat halwa,
Kelapa muda santan dirasa;
Dari muda hingga ke tua,
Nikmat Allah jadikan pahala.

Rumput menghijau kurniaan ilahi,
Rumput penghias tepi halaman;
Redha manusia jangan dicari,
Redha Allah jadikan tujuan.

Semoga bermanfaat untuk kita semua, InsyaAllah...







Wednesday, 6 February 2013

MENGHADIRKAN NIAT DISETIAP PERBUATAN


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpahan kurnia-Nya yang memberikan masa, ruang dan peluang untuk saya mengisi masa saya dengan berkongsi ilmu bersama-sama anda.

NIAT menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. 
BERNIAT pula bermaksud bertujuan (akan) atau Bermaksud (akan). Dapatlah disimpulkan bahawa niat bermaksud tujuan atau kehendak seseorang untuk menginginkan sesuatu sama dalam hati atau percakapan.

Menurut perspektif Islam pula An Niat (niat) dari segi bahasa ertinya adalah al qashdu (maksud) dan al iraadah (keinginan) atau dengan kata lain qashdul quluub wa iraadatuhu (maksud dan keinginan hati). Definisi niat dari segi Istilah adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh Abdurrahman bin Nashir as Sa’di, beliau berkata, “Niat adalah maksud dalam beramal untuk mendekatkan diri pada Allah, mencari redha dan pahalaNya.” (Bahjah Quluubil Abraar wa Qurratu ‘Uyuunil Akhyaar Syarah Jawaami’ul Akhbar hal. 5)


Daripada ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya perbuatan-perbuatan itu dengan niat, dan sesungguhnya setiap orang bergantung dengan apa yang ia niatkan. Maka  barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin ia perolehi, atau untuk wanita yang ingin ia nikahinya, maka hijrahnya ke arah perkara kepada apa-apa yang ia berhijrah kepadanya.

Latar Belakang hadis:
Hadis ini telah dilafazkan oleh Nabi Muhammad pada masa seorang lelaki berpindah dari Makkah ke Madinah semasa peristiwa Hijrah demi semata-mata kerana mengahwini seorang wanita bernama Ummu Qais dan tidak berhijrah dengan sebab Islam. Hadis ini adalah antara hadis yang terpenting dalam Islam.

Menurut Ustaz Haji Muhd Rusli bin Ismail dalam Buletin Mardatillah al-Imam al-Bukhari memulakan kitabnya Sahih Al-Bukhari dengan hadis ini, An-Nawawi membuka kitab hadis Arba’in-nya dengan hadis ini. Begitu juga sebahagian besar ulama membuka kitab-kitab mereka juga dengan hadis ini sebagai satu peringatan bagi penuntut ilmu agar meluruskan kembali niatnya hanya untuk mengharapkan reha Allah salam segala perbuatanya.(Belutin Mardatillah M/S 4)

Saya teringat kisah 3 tahun lepas, mula-mula keluar dari rumah untuk melanjutkan pelajaran. Masa itu mak dan abang sulung saya yang menghantar saya ke IPG Kampus Keningau. Berat hati rasanya untuk meninggalkan kempung halaman yang selama 17 tahun menetap apakan daya demi menimba ilmu Allah akhirnya hati redah dengan bisikan yang menyatakan “Keningau dekat baituu” Sebelum menaiki kenderaan saya bersalaman dengan adik-beradik serta keluarga terdekat dan yang terakhir dengan ayah saya. Semasa bersalaman dengan ayah, dalam dakapan Ayah berkata dekat dengan telinga saya yang berbunyi “ Setiap perkara yang dibuat ingat Allah. Allah”

Sepanjang perjalanan menuju ke bukit langsat, ungkapan yang dilontarkan oleh ayah itu masih terngiang-ngiang di telinga saya. Saya mula menyedari bahawa apa yang ayah katakan tadi adalah untuk menyedarkan saya bahawa menimba ilmu di bukit langsat bukan untuk diri sendiri, bukan untuk mencari pekerjaan, bukan untuk meninggikan diri, buakn sekadar untuk mencukupi syarat sebagai seorang guru tetapi untuk mencari redha Allah SWT.

Bro kau fikir senangkah mahu hadirkan niat di setiap perbuatan? Memang paya Tuan untuk menghadirkan niat kerana Allah SWT dalam setiap perbuatan kita malahan ia perlu melalui proses tarbiyyah yang  panjang, hatta orang tua sekalipun “lugai-lugai” untuk menghadirkan niat kerana Allah SWT apa lagi orang muda-mudi. Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya dan semua yang terlihat artikel ini sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja untuk kita sama-sama menghadirkan niat Kerana Allah SWT di setiap perbuatan kita. Semoga Allah SWT mencampakkan kefahaman ke dalam hati-hati kita untuk kita amal serta kita sampaikan kepada saudara-saudara kita, InsyaAllah.